Favorite Spot in UKM

Assalamualaikum dan hai semua!
Hari ini saya nak kongsikan tempat-tempat kegemaran saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebagai pelajar UKM, mestilah saya nak kongsi dengan semua orang tempat menarik yang patut dikunjungi bukan saja oleh pelajar UKM, tapi juga pengunjung luar yang datang ke kampus ini!

Tempat pertama yang saya paling syorkan sudah tentu ialah Pusanika!
Kalau tanya mana-mana pelajar UKM, memang hampir semua akan tahu tempat ni. Pusanika boleh dikatakan sebagai “port utama” pelajar UKM sebab dekat sinilah tempat paling meriah dan penuh dengan pelbagai pilihan makanan terutamanya yang trending dan moden. Antara tempat wajib singgah ialah Emart, kedai yang ala-ala FamilyMart! Kalau korang peminat makanan Korea, memang wajib cuba sebab banyak pilihan makanan ala Korea yang sedap-sedap.



Selalunya, pelajar baru atau pengunjung luar akan sedikit keliru bila pertama kali datang ke Pusanika, sebab bila masuk je, yang nampak cuma He & She Coffee di bahagian depan. Tapi jangan risau kalau tak pasti, boleh saja tanya pelajar lain yang ada di situ. Kedai-kedai lain seperti ZUS Coffee, Sushi, Tealive, Bing Xue dan banyak lagi sebenarnya terletak di tingkat bawah. Jadi korang kena turun tangga satu atau dua tingkat untuk sampai ke bahagian paling “hidup” di Pusanika tu!

Memang agak penat sedikit nak turun, tapi percayalah berbaloi sangat bila dah sampai. Suasananya selesa dan sesuai untuk bersantai, buat tugasan sambil minum kopi, atau sekadar melepak bersama kawan. Saya masih ingat lagi, masa pertama kali saya ke Pusanika pada tahun 2023, pilihan kedai belum banyak sangat. Tapi sekarang, tahun 2025, memang jauh beza! Banyak kedai baru yang dibuka dan semuanya menarik. Tak hairanlah kenapa Pusanika jadi antara tempat kegemaran saya sepanjang belajar di UKM.

Tempat kedua yang menjadi kegemaran saya di UKM ialah Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL).
PTSL menjadi antara tempat yang paling saya sukai kerana sepanjang dua tahun saya melanjutkan pengajian ijazah, banyak bahan rujukan dan maklumat yang perlu saya peroleh untuk tugasan dan pembelajaran.

Salah satu sebab utama saya gemar ke PTSL ialah kerana buku-buku di sana sangat lengkap dan mudah dicari. Kadangkala harga buku yang perlu dibeli agak mahal dan saya tidak mampu untuk memilikinya, tetapi dengan adanya kemudahan di PTSL, saya dapat meminjam buku dalam tempoh tertentu tanpa perlu mengeluarkan belanja besar.



Selain itu, suasana di PTSL sangat tenang dan kondusif untuk mengulang kaji pelajaran. Keadaan yang senyap membantu saya lebih fokus dan produktif. Pelajar juga boleh menempah bilik khas untuk belajar secara bersendirian memberikan lebih privasi dan keselesaan ketika menyiapkan tugasan.

Kadang-kadang, apabila saya mempunyai masa lapang, saya suka datang ke PTSL untuk menyiapkan tugasan atau membuat nota. Suasana di perpustakaan membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar, terutama apabila melihat ramai pelajar lain yang turut tekun menumpukan perhatian kepada pelajaran masing-masing.

Jadi, kalau anda pelajar UKM, jomlah ke PTSL! Percayalah, suasana di sana memang sangat menginspirasi dan menenangkan. 


Akhir sekali, tempat yang wajib anda semua kunjungi di UKM ialah Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR)! DECTAR turut tersenarai dalam senarai tempat kegemaran saya di UKM kerana di sinilah segalanya bermula bagi kami para pelajar.

Di DECTAR inilah kami berkumpul beramai-ramai semasa minggu orientasi, mendengar taklimat berkenaan UKM, keselamatan, kewangan, serta pelbagai maklumat penting yang menjadi panduan awal kehidupan kami sebagai mahasiswa. Bagi saya, tahun pertama di UKM meninggalkan banyak kenangan manis dan kebanyakannya bermula di sini, di DECTAR.

Bukan itu sahaja, apabila tiba waktu peperiksaan akhir, DECTAR juga kadangkala digunakan sebagai tempat kami menduduki peperiksaan. Dewannya yang luas, selesa dan teratur membuatkan suasana peperiksaan terasa lebih tenang dan tersusun. Setiap kali melihat nama DECTAR tersenarai sebagai lokasi peperiksaan, saya pasti berasa sedikit teruja!

Selain itu, saya dan rakan sekelas mempunyai satu tradisi kecil yang istimewa setiap kali tamat semua kertas peperiksaan, kami akan bergambar bersama di hadapan DECTAR sebagai tanda kenangan dan penutup semester. Ia menjadi momen bermakna yang menggambarkan usaha dan penat lelah kami sepanjang semester.



Dan yang paling saya nantikan DECTAR juga akan menjadi tempat saya menamatkan pengajian suatu hari nanti, dengan memakai jubah konvokesyen sambil tersenyum melihat keluarga dan rakan-rakan yang hadir meraikan hari penuh bersejarah itu. Inilah DECTAR tempat penuh kenangan, simbol permulaan, perjuangan, dan akhirnya penamat yang membahagiakan.



Comments

Popular posts from this blog

Kenali Saya

Perasaan Menjadi Pelajar di UKM dan FEP

Top 3 Fasiliti Kesukaan Saya di FEP