Kenali Saya


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua!

Nama saya Norkhairin Sofea binti Amiruddin, berasal dari Hulu Langat, Selangor. Boleh panggil saya Khairin. Saya merupakan pelajar tahun akhir semester satu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, saya merupakan pelajar di Politeknik Port Dickson dalam jurusan Pemasaran, dan Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian dengan purata CGPA 3.74, yang melayakkan saya menyambung pelajaran di UKM. Kini, saya sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dan Inovasi di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Sejak  sekolah menengah, saya sering berpegang kepada prinsip Go with the flow, kerana pada waktu itu saya masih mencari hala tuju hidup sendiri. Namun, seiring berlalunya masa, saya mula menyedari bahawa Allah SWT sebenarnya sedang menunjukkan bahawa saya mempunyai bakat dan kecenderungan dalam bidang perniagaan. Ketika di sekolah menengah, keputusan PT3 saya tidaklah begitu cemerlang, namun saya bersyukur kerana berpeluang mengambil subjek elektif Akaun, Perniagaan dan Ekonomi. Walaupun keputusan SPM saya juga sederhana, rezeki tetap menyebelahi saya apabila diterima melanjutkan pelajaran di politeknik dalam bidang pemasaran bidang yang pada asalnya saya sendiri hampir terlupa pernah saya pilih!

Selepas tamat diploma, saya terlepas peluang kemasukan UPU pertama akibat kecuaian sendiri kerana kurang peka terhadap maklumat semasa. Dalam tempoh menunggu kemasukan seterusnya, saya bekerja di Ibu Pejabat Sunway Multicare Pharmacy selama setahun. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya sekali lagi apabila saya akhirnya diterima masuk ke UKM.

Apabila saya menoleh kembali perjalanan hidup saya selama 24 tahun, saya akui diri saya pernah cuai dan melakukan kesilapan. Namun, saya amat bersyukur atas segala rezeki dan jalan yang telah Allah SWT aturkan. Walaupun perjalanan hidup ini ada pasang surutnya, saya percaya setiap detik yang berlaku telah membentuk diri saya menjadi insan yang lebih matang dan tabah. Perjalanan ini masih panjang, dan saya berdoa agar terus diberikan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan semangat yang baharu. Buat masa ini, itu sahaja serba sedikit pengenalan tentang saya!


Perkenalkan, inilah keluarga saya!
Saya mempunyai empat orang adik-beradik yang sulung ialah abang saya, saya anak kedua, manakala adik ketiga dan keempat merupakan adik perempuan.

Abang saya telah berkahwin pada tahun 2024 dengan kakak ipar saya yang sangat baik, dan mereka kini dikurniakan seorang anak yang comel. Saya berasa sangat teruja menjadi seorang makcik! Walaupun anak saudara saya baru berusia tiga bulan, saya sudah tidak sabar menunggu saat dia membesar supaya saya dapat membawanya bermain di taman nanti.

Adik perempuan saya yang pertama kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada peringkat ijazah, manakala adik bongsu saya masih bersekolah di Tingkatan 5 dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Doakan semoga dia memperoleh keputusan yang cemerlang!

Jika melihat pada gambar keluarga saya, ayah saya memakai baju berwarna kelabu dan berdiri di hadapan bersama ibu tiri saya. Ibu kandung saya telah kembali ke rahmatullah ketika saya berada darjah 4, jadi gambar kami bersama tidaklah banyak. Namun begitu, kenangan bersama arwah ibu tetap segar dalam ingatan saya hingga kini.

Itulah serba sedikit tentang keluarga saya keluarga kecil yang saya sangat sayangi dan menjadi sumber kekuatan dalam kehidupan saya. Saya nak kongsikan sedikit video tiktok tahun lepas semasa Hari Raya, saya dan adik-beradik telah mengajak ayah dan ibu saya belajar bermain TikTok! 

Waktu tu memang kelakar sebab ayah agak kekok nak ikut gaya dan gerakan kami tapi dia tetap sporting. Kami ajar perlahan-lahan cara rakam, pilih lagu dan buat pergerakan yang senang. Tak sangka, hasilnya jadi video TikTok pertama ayah! Suasana masa tu memang meriah semua ketawa, bergurau dan cuba ulang rakaman sebab ayah asyik salah timing. Tapi itulah yang buat momen tu jadi kenangan paling lucu dan bermakna sepanjang raya.





Comel tak anak buah saya?
Sejujurnya, saya memang sudah lama mengimpikan untuk mempunyai anak saudara lelaki, memandangkan antara adik-beradik saya hanya abang saya sahaja yang lelaki. Alhamdulillah, doa itu akhirnya dimakbulkan apabila lahirnya si comel ini ke dunia.

Dia seorang bayi yang kuat tersenyum dan jarang meragam, membuatkan semua orang di rumah sentiasa gembira dengan keletah dia. Tidak dinafikan, dia kini menjadi penghibur dan kesayangan utama dalam keluarga kami


Comments

Popular posts from this blog

Perasaan Menjadi Pelajar di UKM dan FEP

Top 3 Fasiliti Kesukaan Saya di FEP