Top 3 Fasiliti Kesukaan Saya di FEP

Hari ini, saya ingin berkongsi sedikit tentang kemudahan yang terdapat di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), memandangkan saya sendiri merupakan pelajar di fakulti ini.

Antara fasiliti yang paling saya rasa berguna dan digemari oleh pelajar serta pensyarah FEP ialah Budi Cafe. Siapa yang pernah ke sana pasti tahu suasananya bagaimana penuh dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman!

Memandangkan FEP tidak mempunyai kafe yang besar, pelajar biasanya perlu berjalan ke Fakulti Sains dan Teknologi (FST) untuk membeli makanan. Namun, bagi pelajar yang sedang mengejar masa atau perlu ke kelas dengan segera, perjalanan ke FST boleh menjadi sedikit menyusahkan walaupun jaraknya tidaklah terlalu jauh. Oleh sebab itu, Budi Cafe menjadi pilihan utama pelajar FEP untuk menjamu selera dengan cepat dan mudah.

Di Budi Cafe bukan sahaja terdapat pelbagai pilihan makanan dan minuman, tetapi juga disediakan meja dan kerusi yang selesa untuk pelajar berehat atau menikmati hidangan. Antara makanan kegemaran saya di sini ialah waffle coklat memang sedap dan wajib dicuba! 

Selain pelajar, ramai juga pensyarah yang memilih untuk berehat di Budi Cafe, sambil menikmati minuman dan berbual bersama rakan sejawat. Jadi, Budi Cafe bukan sekadar tempat makan, tetapi juga menjadi ruang santai yang menyenangkan untuk semua warga FEP. Saya dan rakan-rakan juga kadangkala meluangkan masa di Budi Cafe untuk menyiapkan tugasan bersama. Suasananya yang santai, disertai dengan aroma makanan dan minuman yang menyelerakan, menjadikan Budi Cafe tempat yang sesuai untuk berbincang idea dan menyiapkan assignment dengan lebih tenang. Kadang-kadang, sambil buat kerja, kami juga menikmati waffle coklat kegemaran saya menu wajib setiap kali ke sana! 




Fasiliti seterusnya yang sangat berguna untuk semua warga Islam sudah tentu ialah surau di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP). Kebiasaannya, surau di fakulti atau kolej tidak begitu besar, namun surau FEP agak luas dan selesa dan bagi saya, inilah yang paling penting!

Sebagai pelajar perempuan, kami selalunya membawa banyak barang ke kelas. Jadi apabila masuk waktu solat, semua beg dan barang tersebut perlu dibawa bersama ke dalam surau. Mujurlah surau FEP luas, jadi kami masih boleh bergerak dan menunaikan solat dengan selesa tanpa rasa sempit. Selain itu, setiap kali ada program di UKM, surau FEP juga menjadi tempat kami, para pelajar perempuan, bersiap sebelum menghadiri majlis. Hal ini kerana surau tersebut bukan sahaja bersih dan luas, tetapi turut dilengkapi cermin besar yang sangat memudahkan kami untuk memakai pakaian atau menyempurnakan penampilan. Kadang-kadang, selepas siap bersiap untuk menghadiri program, kami sempat bergambar bersama di hadapan cermin surau contohnya seperti ketika kami menghadiri Program Hari Pemasaran pada tahun pertama. 

Selain menjadi tempat beribadah, surau FEP juga kadangkala menjadi tempat saya berehat. Kadang-kadang selepas seharian menghadiri kelas tanpa henti, badan terasa penat dan kepala mula serabut. Jadi, singgah sekejap di surau untuk berehat, baring sebentar atau duduk tenang dalam suasana yang damai memang membantu saya mengembalikan tenaga.

Bagi kemudahan solat pula, telekung disediakan di surau FEP, jadi pelajar tidak perlu risau jika terlupa membawanya dari rumah. Tempat wuduknya juga bersih dan terjaga, menambah lagi rasa selesa setiap kali berkunjung ke sini.

Pendek kata, surau FEP bukan sahaja tempat beribadah, tetapi juga tempat yang memberikan ketenangan dan ruang untuk rehat seketika di tengah-tengah kesibukan sebagai pelajar universiti.


Terakhir sekali, fasiliti yang paling saya suka di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) sudah semestinya dewan kuliah! Di FEP, terdapat kira-kira lima buah dewan kuliah, dan setiap satu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Apa yang membuatkan saya paling suka tentang dewan kuliah ialah ruangnya yang luas dan sangat selesa. Kalau pelajar FEP mesti tahu beza antara bilik seminar dan dewan kuliah, kan? Tapi bagi yang belum tahu, sini saya kongsikan sedikit perbezaannya.

Perbezaan paling ketara ialah kerusinya!
Kerusi di dewan kuliah lebih empuk dan mempunyai kusyen. Jadi, kalau kelas berlangsung selama tiga jam pun, pelajar tidak cepat lenguh atau sakit pinggang sebab duduk pun rasa selesa. Ruangan kelas yang luas juga memudahkan pergerakan kalau ada pelajar nak keluar ke tandas atau buat pembentangan, tak mengganggu pelajar lain pun.

Berbeza pula dengan bilik seminar. Di situ, kerusi dan meja disambungkan, dan kerusinya pula tidak berkusyen. Jadi bila kelas lama, memang terasa juga letihnya. Tambahan pula, kalau kelas besar  macam kelas saya yang ada lebih kurang 50 orang pelajar  memang agak sempit bila nak keluar masuk. Tapi walaupun begitu, saya tetap seronok hadir ke kelas sebab dapat belajar dan berjumpa kawan-kawan. Semua ni sebenarnya kenangan manis yang tak akan berulang bila dah masuk alam pekerjaan nanti. Bagi saya, dewan kuliah adalah pilihan terbaik untuk sesi pengajaran bukan sahaja pelajar rasa selesa, pensyarah pun dapat mengajar dengan lebih tenang dan teratur. 

Gambar di bawah adalah gambar ketika tahun 2 saya dan rakan-rakan telah menyertai Program FEP Business Pitching, dan selepas selesai program tersebut, kami sempat bergambar bersama di dalam Dewan Kuliah 5 sebagai kenangan. Momen itu menjadi salah satu pengalaman berharga sepanjang pengajian saya di FEP.


Kalau nak tahu, gambar mirror selfie yang saya kongsikan sebelum ini juga merupakan persiapan kami untuk menghadiri Program Hari Pemasaran yang turut diadakan di Dewan Kuliah 5. Pada hari tersebut, kumpulan kami perlu membuat persembahan tarian tradisional Melayu lengkap dengan pakaian tradisional yang menyerikan suasana majlis.

Memang seronok sangat! Kami ketawa, berlatih bersama, dan akhirnya berjaya menari dengan penuh semangat di hadapan para pensyarah dan pelajar lain. Kalau berpeluang, tontolah video kami menari antara kenangan paling manis sepanjang saya di FEP!






Comments

Popular posts from this blog

Kenali Saya

Perasaan Menjadi Pelajar di UKM dan FEP